07 July 2009

Insurans

06 July 2009 - Hari ni aku nak bebel sikit pasal insurans.

Artikel ni dipetik dari online newspaper.


Syarikat enggan lindung kenderaan bawah RM10,000

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat insurans kini menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana dianggap merugikan.

Berdasarkan aduan yang diterima Berita Harian, syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans.


Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas yang bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara yang didaftar antara 1994 hingga 1999.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara itu, terutama daripada pemilik teksi yang berusia 10 tahun ke atas.

Sehubungan itu, Fomca menggesa pihak berkuasa khususnya Bank Negara Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia akan menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan terbabit.

Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tindakan itu tidak adil kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan bernilai di bawah RM10,000.

"Kerajaan masih membenarkan rakyat menggunakan kenderaan berusia lebih 10 tahun. Saya tidak faham mengapa syarikat insurans tertentu enggan menerima permohonan dan pembaharuan insurans bagi kenderaan di bawah RM10,000," katanya.

Mohd Yusof berkata, syarikat insurans tidak mungkin menanggung kerugian selagi kenderaan berkenaan tidak terbabit dalam kemalangan.

"Setahu saya, masih tidak ada statistik rasmi yang menyatakan bahawa kadar kemalangan bagi kenderaan bernilai bawah RM10,000 atau berusia lebih 10 tahun adalah tinggi. Lagi pun, nilai yang dilindungi adalah rendah berbanding kereta baru," katanya.

PIAM ketika dihubungi semalam memberi jaminan akan meneliti aduan itu.

Sementara itu, sebuah syarikat insurans terbabit ketika dihubungi menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kajian mendalam mengenai risiko dan keuntungan pada peringkat syarikat yang dibuat dari semasa ke semasa.

Jurucakapnya berkata, pihak syarikat sudah tentu mahu menjana keuntungan dan segmen perlindungan kenderaan di bawah RM10,000 dikenal pasti membawa kerugian kerana banyak tuntutan diterima.

Bagaimanapun, kajian peringkat syarikat akan terus dilaksanakan dan kemungkinan segmen itu diberi perlindungan semula jika ia didapati tidak berisiko tinggi pada masa akan datang.



Insurans kelompok legakan pemilik kenderaan lama

TINDAKAN segera kerajaan menangani kesukaran pemilik kenderaan lama yang berusia 10 tahun ke atas untuk mendapat perlindungan insurans dengan mewujudkan skim insurans berkelompok dialu-alukan kerana dapat mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah yang memiliki kenderaan itu. Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, kelmarin melegakan pemilik kenderaan berkenaan yang sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah berikutan keengganan syarikat insurans memperbaharui insurans bagi kenderaan yang berharga bawah RM10,000, biasanya membabitkan kenderaan berusia lebih 10 tahun. Syarikat insurans memberi alasan kenderaan berkenaan berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans, terutama bagi pihak ketiga yang biasanya dikenakan bayaran premium rendah berbanding pemilik kenderaan baru. Tanpa sebarang perlindungan insurans, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membenarkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan. Langkah segera kerajaan itu wajar kerana ia boleh menangani masalah kenderaan di jalan raya tanpa cukai jalan. Ia bukan saja menyalahi undang-undang tetapi akan menyusahkan. Jika berlaku kemalangan, kenderaan itu tidak dilindungi insurans. Jika sesuatu perkara buruk atau kematian berlaku kepada pemandu atau penumpangnya, keluarga mereka tidak boleh membuat sebarang tuntutan.


Dengan memperkenalkan skim insurans berkelompok yang diuruskan pejabat pos di seluruh negara dan berkuat kuasa serta-merta bulan ini, kesulitan yang dihadapi pemilik kenderaan tua dapat diselesaikan. Langkah itu juga dapat mengelak kemungkinan cubaan syarikat insurans untuk membuat desakan kepada kerajaan bagi meningkatkan premium untuk pihak ketiga dengan enggan memperbaharui perlindungan insurans.


Sehingga kini dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun ke atas bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya, termasuk lebih 900,000 kenderaan Proton dan 300,000 keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga 1999. Dengan memperkenalkan skim insurans berkelompok, pemilik kenderaan, terutama di luar bandar tidak lagi menghadapi kerenah ejen insurans atau bayaran premium yang membebankan. Mereka kini boleh mendapatkannya di pejabat pos pada masa yang sama boleh terus memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing tanpa sebarang masalah. Kita juga menyokong langkah kerajaan mengkaji serta merombak sistem pembayaran insurans yang kini tidak seimbang sehingga membebankan syarikat insurans. Kajian semula membabitkan Kementerian Pengangkutan, Bank Negara dan syarikat insurans itu penting bagi memastikan semua pihak yang terbabit mendapat keadilan dalam pembayaran atau penerimaan pampasan jika berlaku kemalangan jalan raya. Kita tidak mahu, ada pihak yang mendapat pampasan di luar jangkaan, manakala pihak lain terutama syarikat insurans mengalami kerugian sehingga terpaksa meningkatkan kadar premium untuk menampung operasi syarikat dan pembayaran pampasan yang akhirnya membebankan pengguna lain untuk jangka masa panjang.


Komen aku :

Isu #1 - syarikat insurans tak nak cover kenderaan yang dah tua termasuklah syarikat yang dengan bongkaknya mengumumkan keseluruh dunia bahawa produk mereka adalah islamik dan halal...takaful sini takaful sana.

Islamik taek kucin...pada aku semua skim insurans di Malaysia ni adalah HARAM kerana :
a - ia susah lagi menyusahkan sedangkan Islam itu mudah lagi memudahkan.
b - bermotifkan keuntungan...kalau rugi syarikat tak nak jual produk
c - produk dijual bersyarat...untuk kenderaan berusia tertentu sahaja
d - tiada aqad jual beli

Isu #2 - insurans berkelompok hanya dikendalikan oleh Pos Malaysia. Isu nya :
a - Pos Malaysia bukan syarikat insurans...siapa sebenarnya assurance provider
b - setau aku orang kuat di sebalik Pos Malaysia ni si KJ...I smell something busuk here
c - stakat hari ini belum ada penjelasan terperinci dari pihak berwajib berkenaan insurans berkelompok ni

Isu yang sama juga terjadi kepada insurans2 yang lain seperti insurans kesihatan, nyawa, pelaburan, pendidikan etc.

Setakat pengetahuan aku syarikat insurans hanya sanggup melindungi kesihatan kita hingga
kita berusia 60 tahun sahaja. Lepas tu pandai2 la korang nak idup. Kalau ada pun yang sanggup, wang sumbangan (premium) yang terpaksa dibayar memang tak masuk akal. Makin tua makin tinggi premiumnya.

Satu lagi...syarikat hanya melindungi orang yang sihat sahaja. Segala penyakit yang pernah kita hidapi tidak akan dilindungi termasuklah penyakit yang berpunca atau berkaitan dengan sakit sebelumnya.

Contoh...jika semasa korang membeli insurans korang memang dah ada sakit darah tinggi...ditakdirkan korang kena stroke atau sakit jantung...syarikat takkan tanggung atau biaya kos rawatan sebab stroke atau sakit jantung berhubungkait dengan darah tinggi.

Walaupun ada tempoh matang dimana peserta tidak perlu lagi membayar premium namun jumlah perlindungan akan menurun mengikut usia.

Begitu juga dengan medical card. Premium yang kita bayar setiap tahun adalah bayaran hangus. Walau kita telah melanggan berpuluh tahun tanpa sebarang tuntutan dan kita terlupa untuk membayar untuk tahun ini maka kita tetap tidak akan dilindungi.

Nasihat aku - sebelum membeli sebarang polisi insurans (kecuali kenderaan) baca dulu polisinya..jangan percaya 100% kata2 ajen walaupun islamik dan selalunya mereka akan memberi seribu satu alasan untuk tidak membenarkan kita membaca polisi sebelum membeli. Kalau tak percaya korang cuba cari member2 yang jadi ajen... korang kelentong la kata nak beli ratus ribu punya polisi...pastu cuba mintak polisi dulu nak baca kat rumah. Kalau ada yang bagi...orang tu adalah calon paling sesuai dibuat menantu/suami/isteri/madu.

Mengapa polisi insurans ditulis menggunakan font yang amat kecil dan sukar dibaca ??

Lu pikir la sendiri !!


note : bab ni aku ngaku kalah dengan orang gomen...sampai dah kedalam kubur pun gomen masih tanggung lagi

No comments: